BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

January 11, 2010

pencemaran makanan oleh manusia

Catatan ini adalah pengetahuan tambahan yang agak menarik untuk dikongsi bersama

Cuba lihat iklan serbuk peluntur di bawah...



Iklan ini mendakwa ia berkesan menghapuskan 99.9% bakteria. Persoalan timbul, mengapa hanya 99.9%, bukan 100%? 

Hal ini berlaku kerana kita tidak dapat menghapuskan keseluruhan bakteria dan juga kita tidak dapat mengelakkan dari berhadapan dengan koloni bakteria dalam kehidupan seharian.

Bakteria berada di stereng kereta, pinggan mangkuk, kerusi dan disetiap penjuru sekeliling kita. Bakteria biasanya bersaiz amat kecil, antara 0.5-5.0 μm, walaupun bakteria gergasi seperti Thiomargarita namibiensis dan Epulopiscium fishelsoni boleh bersaiz melebihi saiz 0.5 milimeter. Ia mempunyai dinding sel yang serupa dengan sel tumbuhan dan kulat, tetapi dinding sel bakteria biasanya diperbuat daripada peptidoglikan dan bukannya daripada selulosa (tumbuhan) atau kitin (kulat).

Secara umumnya, bakteria adalah organisma yang paling banyak terdapat di dunia dan kebanyakan patogen adalah bakteria.(Patogen adalah mikroorganisma yang menyebabkan penyakit)

Salmonella typhi merupakan salah satu koloni bakteria yang boleh menyebabkan cirit birit, sakit perut dan loya dengan tempoh inkubasi 6-72 jam (biasanya 12-36 jam). Salmonella typhi biasanya datang daripada sumber makanan yang belum dimasak,terutama ayam, daging dan susu mentah. Biasanya langkah pencegahan ialah memasak ayam, daging dan telur dengan sempurna dengan suhu melebihi 75oC dan mengasingkan makanan yang telah dimasak dengan makanan yang belum dimasak.



Kajian yang dilakukan oleh Duarte dan pasukan penyelidikannya pada tahun 2005 dalam jurnal bertajuk "Anticandida Activity of Brazilian Medical Plants" menunjukkan minyak pati daripada ekstrak pudina mempunyai aktiviti perencatan koloni bakteria Salmonella typhiantara yang tertinggi berbanding dengan 32 sampel minyak pati pokok herba dari Thailand.

Escherichia coli (E. coli) juga tidak asing sebagai penyumbang kepada keracunan makanan.E. coli berasal daripada sumber makanan seperti daging burger yang belum cukup masak, keju dan air atau makanan yang dicemari najis. Ia mempunyai simptom yang sama sepertiSalmonella typhi iaitu cirit birit, sakit perut yang amat sangat dan muntah. Namun ia boleh sampai ke tahap menyebabkan kematian dan komplikasi seperti sindrom uremia hemolisis (Haemolytic Uraemic Syndrom, HUS), iaitu radang kepada usus besar terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua dengan tempoh inkubasi enam jam hingga tiga hari. Sindrom penyakit ini boleh dicegah jika kita memasak makanan dengan sempurna dan membasuh tangan dengan bersih selepas membuang air kecil atau besar.



Kajian yang dijalankan oleh Mackeen pada tahun 1997 menunjukkan ekstrak buah belimbing (Averrhoa bilimbi) mempunyai aktiviti antibakteria terhadap E.coli dengan nilai kepekatan perencatan minimum (MIC) antara 100 hingga 800 μg/ml.

Selain itu, Staphylococcus aureus (S. aureus) juga terkenal sebagai agen yang menyebabkan keracunan makanan hasil daripada koloninya dan toksin yang dihasilkannya. Tanda-tanda awal ialah loya, muntah-muntah, cirit-birit dengan tempoh inkubasi 1-8 jam. S. aureus merebak kepada makanan yang dicemari oleh pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti luka atau bisul yang terdedah kepada makanan.

Selain itu, bakteria ini juga dapat merebak melalui cara penyimpanan makanan yang tidak betul, iaitu makanan yang disimpan terlalu lama pada suhu bilik, iaitu melebihi empat jam. S. aureus boleh mengeluarkan sejenis toksin, iaitu enterotoksin yang sangat rentan pada suhu yang tinggi. Oleh itu kemungkinan berlaku keracunan makanan yang telah dimasak adalah tinggi walaupun bakteria S. aureus telah musnah.



Kajian yang telah dijalankan oleh Vimala dan rakan penyelidiknya pada tahun 2002 dalam jurnal yang bertajuk "Antitumor Promoter Activity in Malaysia Ginger Rhizobia Used in Traditional Medicine" mendapati minyak pati yang telah diekstrak daripada rizom pokokKaempferia galanga (pokok cekur) menunjukkan aktiviti perencatan koloni bakteria S. aureus dengan jayanya

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan herba yang mempunyai nilai perubatan khususnya perencatan bakteria telah mendapat perhatian yang meluas daripada semua pihak.

Semoga kajian dan penyelidikan akan terus dijalankan agar usaha mencegah penyakit akibat daripada bakteria berada pada tahap yang paling minimum.

0 comments: